MENU

BH ONLINE

Oleh Hamzah Osman

bhnews@bh.com.my

 

LANGKAWI: Loji insinerator atau loji pembakaran sampah berharga RM200 juta di Kampung Belanga Pechah di sini, yang ditutup sejak empat tahun lalu, akan dibuka semula pertengahan Mei ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata penutupan loji itu sebelum ini berikutan masalah teknikal dan pengurusan syarikat kontraktor yang dilantik.

“Dana kira-kira RM200 juta disediakan kerajaan persekutuan bagi membangunkan projek ini untuk pengurusan sampah lebih baik di Langkawi, tetapi hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja.

“Selepas kegagalan kontraktor pertama, kerajaan buka tender semula dan diberikan kepada Drizzle Engineering Sdn Bhd (Drizzle Engineering),” katanya pada sidang media di Loji Insinerator Kampung Belanga Pechah di sini, hari ini.

Terdahulu, Zuraida mendengar taklimat sebelum membuat lawatan singkat untuk meninjau tahap persediaan dan pengoperasian loji itu di bawah kendalian Drizzle Engineering.

Zuraida berkata, beliau dimaklumkan, Drizzle Engineering perlu mengambil masa untuk beroperasi semula kerana reka bentuk loji sedia ada tidak sesuai dengan jenis sampah basah yang dihasilkan di Langkawi.

“Sepatutnya pada perancangan awal, Drizzle Engineering perlu menyiapkan loji ini pada September tahun lalu, tetapi mereka tidak berupaya melakukannya berikutan beberapa masalah yang dihadapi.

“Kita juga sedar isu sampah di Langkawi semakin kritikal apabila kira-kira 200 tan sampah dihasilkan setiap hari di seluruh pulau ini, berbanding sekitar 100 tan lima tahun lalu,” katanya.

Zuraida berkata, sebagai langkah jangka pendek, beliau mengarahkan syarikat terbabit menguruskan air kotoran daripada timbunan sampah yang dikutip supaya tidak mencemari Sungai Kilim.

“Ini penting kerana sungai ini ada kaitan dengan pengiktirafan Langkawi sebagai Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pada Jun ini, pasukan penilai dari UNESCO akan datang untuk melakukan audit bagi melayakkan status Geopark yang diberikan kepada Langkawi itu kekal atau sebaliknya,” katanya.

Last Updated: Thursday, 12 December 2019 - 9:56am