MENU

LANGKAWI, 17 Mei (Bernama) -- Projek Langkawi Digital dijangka mampu menandingi pencapaian projek Komuniti Pintar Kemaman di Terengganu yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di Sidang Kemuncak Dunia mengenai Forum Masyarakat Bermaklumat (WSIS 2016) di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata komitmen yang ditunjukkan dan perancangan oleh pemimpin tempatan serta agensi pelaksana projek ini meyakinkan kemampuan untuk meraih pencapaian bertaraf dunia dan membantu mewujudkan masyarakat digital di pulau peranginan ini.

"Kita pun telah menetapkan target kita dalam lapan ke sembilan bulan (untuk meneruskan pelaksanaan Digital Langkawi), mungkin (Komuniti Pintar Kemaman) kita boleh jadikan model. Saya pasti Langkawi boleh juga menandingi usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini," katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat di sini hari ini.

Projek Komuniti Pintar Kemaman yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) disenaraikan sebagai satu daripada lima projek yang memperoleh undian tertinggi daripada 27 projek yang dicalonkan di bawah Kategori Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi dalam WSIS 2016 itu yang berlangsung 2 hingga 6 Mei lepas.

Projek berkenaan diperkenalkan pada awal 2015 dengan objektif utamanya untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosio-ekonomi masyarakat melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai platform penyaluran maklumat yang lebih cepat dan efektif.

Sementara itu, Digital Langkawi pula merupakan projek penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan telekomunikasi di pulau ini yang dibangunkan oleh SKMM sejak tahun lepas bagi manfaat penduduk dan pelancong ke pulau ini.

Jailani berkata usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik bukan hanya bertujuan merapatkan jurang digital di negara ini, sebaliknya akan memberi ruang lebih luas lagi untuk masyarakat bandar dan luar bandar meningkatkan lagi pendapatan mereka khususnya melalui penglibatan dalam e-dagang.

Katanya kementeriannya juga akan mempertimbangkan untuk menambahkan lagi jumlah PI1M di Langkawi yang setakat ini berjumlah empat buah, masing-masing terletak di Kampung Padang Lalang, Kampung Padang Wahid, Kuah dan Pulau Tuba.

Beliau juga mencadangkan PP1M di Pulau Tuba, yang hanya dapat dihubungi melalui perjalanan laut dari Pulau Langkawi, dijadikan hab untuk penghantaran dan penerimaan barangan pos melalui kerjasama antara SKMM dan Pos Malaysia.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah Nor Saidi Nanyan dan Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yusof, turut hadir dalam majlis itu.

Sumber : Bernama

Kemaskini Terakhir: Rabu, 16 Oktober 2019 - 11:25am