MENU

Kota Belud: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melancarkan Program Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi membawa PBT ke arah pentadbiran lebih telus, holistik dan inklusif, pada Mei ini.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pihaknya akan mengadakn pertemuan dengan semua kerajaan negeri bagi menyelaraskan garis panduan dan tindakan bersepadu yang akan dibuat.

Transformasi Berjaya

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi memastikan transformasi ini berjaya kerana ia membabitkan kepentingan rakyat. Setakat ini, maklumbalas daripada kerajaan negeri amat baik.

"Sudah tiba masanya PBT ditransformasikan kerana kita bukan hanya memikirkan soal pentadbiran tetapi pembangunan secara holistik. Kita juga mahu PBT lebih terbuka dan inklusif. Proses inklusif mesti dianggap positif dan jangan fikir apabila kita berinteraksi dengan rakyat, ini akan membebankan atau memudaratkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah Bazar Rakyat Kota Belud, di sini, semalam.

Rahman berkata, PBT sama ada pihak majlis daerah, perbandaran dan dewan bandar raya perlu menjadikan medan pertemuan dengan rakyat sebagai landasan untuk menjelaskan cabaran atau masalah yang dihadapi termasuk dalam aspek kewangan.

"Saya tidak mahu PBT berasakan apabila mereka berinteraki dengan rakyat dalam mana-mana pertemuan, ia adalah untuk menghentam atau mengkritik prestasi mereka.

"Sebaliknya gunakan ia untuk menjelaskan cabaran dan masalah dihadapi PBT agar mereka faham. Bila berkongsi, saya rasa rakyat akan hargai dan memahami cabaran yang dihadapi majlis daerah.

"Jika kita tidak memaklumkan kepada rakyat, mereka akan berasa sangsi atau tidak yakin sekaligus menjurus kepada fitnah dan tuduhan seolah-olah PBT ada duit tetapi hilang ke mana sehingga jalan raya pekan tidak dapat ditangani," katanya.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Halimah Mohd Sadique; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Datuk Musbah Jamli.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 16 Oktober 2019 - 11:25am